BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 15, 2009

Dewasa ini bercinta bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira agar jalinan cinta yang terbina kekal selamanya. Apatah lagi hidup di dalam dunia moden yang semuanya memerlukan perbelanjaan dan kos.

Mungkin melafazkan kata-kata cinta hanya perlu bermodalkan air liur sahaja, namun untuk mendapatkan cinta, ianya lebih daripada itu.

Walaupun ramai yang beranggapan cinta sejati mampu mengatasi segala-galanya, ianya ternyata hanya indah khabar daripada rupa. Cinta sememangnya memerlukan modal dan ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan cinta. Antaranya:

1. Bil telefon
Setiap pasangan yang bercinta pastinya akan sentiasa berhubung di antara satu sama lain. Untuk itu telefon atau telefon bimbit amat diperlukan.

Jika sebelum ini bil telefon anda hanya mencecah puluhan ringgit, namun apabila anda berada di alam percintaan sudah pasti bil telefon anda akan melambung tinggi. Malah adakalanya sehingga mencecah ribuan ringgit.

Inilah antara harga yang perlu anda bayar untuk membuktikan rasa cinta kepada si dia. Jika anda berkira di dalam aspek ini, nampak gayanya anda perlu bersedia untuk ditinggalkan oleh si kekasih hati.

2. Kos makan minum
Setiap kali keluar pada hujung minggu, sudah pasti anda akan menghabiskan masa dengan aktiviti makan bersama. Jika sebelum ini anda hanya mengeluarkan belanja untuk diri sendiri, kini anda perlu membayar harga untuk pasangan anda juga.

Namun kalau anda seorang yang sangat suka berjimat, apa salahnya bayar asing-asing segala kos perbelanjaan atau membawa bekal sendiri dari rumah setiap kali keluar dengan kekasih hati.

Sudah pasti si gadis akan melabelkan anda sebagai kedekut dan cukuplah sekali dia keluar dengan anda. Padanya anda memang tidak sesuai untuk menjadi kekasihnya yang ideal. Selamat tinggal cinta!

3. Masa
Jika dahulu anda mempunyai masa untuk diluangkan bersama kawan-kawan atau keluarga, kini apabila bercinta kebanyakan masa anda akan dicuri oleh pasangan anda. Maklumlah pasangan sekarang memang suka menghabiskan masa bersama dan melakukan pelbagai aktiviti berdua.

Jika kawan-kawan anda merungut dengan perubahan sikap anda yang keterlaluan, mungkin anda boleh membuat helah dengan mengatakan terlupa akan temujanji yang dibuat bersama si kekasih.

Tetapi awas, anda mungkin hanya mampu melepaskan diri buat seketika kerana kemungkinan besar anda memerlukan masa yang panjang untuk memujuk kekasih hati yang merajuk dengan sikap 'lupamu' itu.

4. Tambang
Bagi anda yang menggunakan kenderaan sendiri, anda pasti akan memikirkan tentang harga minyak, tol dan juga kos penyelenggaraan kereta yang perlu dikeluarkan setiap kali anda bertemu dengan sang kekasih.

Bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam pula, mereka perlu memikirkan tentang kadar tambang yang perlu dibayar untuk ke lokasi tertentu. Adakalanya memang membebankan, namun kerana cinta terpaksa juga diturutkan.

Namun bagi anda yang mahu berjimat, tidak salah sekiranya anda berjalan kaki sahaja dengan pasangan untuk pergi ke mana-mana. Namun selepas itu anda perlu bersedia untuk berjalan kaki seoarang diri kerana si dia sudah menaiki kereta dengan pasangan lain.

Jangan salahkan pasangan anda sekiranya perkara tersebut terjadi kerana pada zaman ini semua orang mementingkan keselesaan dan kemewahan. jadi tepuk dada tanya selera!

5. Pakaian
Apabila bercinta, anda pastinya perlu mengeluarkan belanja yang lebih untuk membeli pakaian baru. Sudah tentu kamu mahu kelihatan sentiasa bergaya di hadapan si dia. Jika dahulu anda boleh memakai pakaian yang sama atau ala kadar ketika keluar bersama teman-teman, tabiat itu perlu dikikis supaya si dia selesa bersama anda.

Tambah memeningkan kepala apabila si dia mahu kamu bergaya sepertinya yang sangat mementingkan jenama dan bercitarasa tinggi. Lagi teruk, anda bukan sahaja perlu membeli pakaian untuk diri sendiri malah terpaksa membeli pakaian untuknya sekali.

6. Hadiah
Setiap kali tibanya hari jadi atau hari ulang tahun percintaan, anda harus menyediakan hadiah sebagai tanda ingatan anda kepadanya. Kalau anda memberikan hadiah yang murah, sudah pasti si dia beranggapan anda tidak serius dengannya.

Paling kurang anda perlu menyediakan sebentuk cincin atau pakej percutian ke lokasi menarik dalam atau di luar negara. Barulah pasangan anda tersenyum puas dan bangga menceritakannya kepada kawan-kawannya yang lain.

Tetapi bukan semua pasangan begitu. Apa yang penting adalah persefahaman dan keserasian dalam percintaan. Jika tidak mampu, lakukan secara sederhana dan berterus-terang mengenai tahap kewangan anda. Biasanya semua orang lebih sukakan individu yang berterus-terang berbanding mereka yang berpura-pura.

0 comments: